Barat kaut minyak Iraq – Undang-undang kontroversi baru membolehkan kontrak 30 tahun

BAGHDAD 7 Jan. – Simpanan minyak Iraq, yang ketiga terbesar di dunia, akan dibuka semula untuk penerokaan besar-besaran syarikat-syarikat minyak Barat di bawah undang-undang kontroversi yang akan dibentangkan di Parlimen dalam masa beberapa hari lagi.

Kerajaan Amerika Syarikat (AS) terlibat dalam mendraf undang-undang itu, dengan salinan diperoleh akhbar The Independent hari ini.

Di bawah undang-undang itu, syarikat minyak yang besar seperti BP, Shell dan Exxon akan diberi kontrak selama 30 tahun untuk mencari gali minyak mentah Iraq.

Ia juga membuka laluan kepada operasi besar-besaran yang pertama melibatkan syarikat-syarikat minyak asing di Iraq sejak industri itu dimiliknegarakan pada 1972.

Pendapatan lumayan yang bakal diperoleh syarikat-syarikat Barat akan melantangkan lagi suara para pengkritik yang selama ini menegaskan Perang Iraq dilancarkan untuk tujuan mendapatkan minyaknya.

Mereka merujuk kepada kenyataan-kenyataan seperti yang dibuat oleh Naib Presiden Dick Cheney, yang berkata pada 1999 semasa beliau masih menjadi ketua eksekutif syarikat perkhidmatan minyak Halliburton bahawa dunia memerlukan 50 juta tong minyak tambahan sehari menjelang 2010.

“Jadi, dari mana kita hendak mencari minyak sebanyak itu? Jawapannya terletak di Asia Barat, yang menyumbangkan dua pertiga daripada jumlah bekalan minyak di seluruh dunia dengan kos yang paling rendah,” katanya.

Para penganalisis dan eksekutif industri minyak berkata, undang-undang yang kontroversi itu, yang membenarkan syarikat-syarikat Barat mengaut tiga suku daripada keuntungan yang bakal diperolehi di peringkat awal, merupakan satu-satunya cara untuk memulihkan industri minyak Iraq setelah bertahun-tahun negara itu dikenakan sekatan, dilanda peperangan dan kehilangan kepakaran yang diperlukan.

Sewaktu mengemukakan usul di Parlimen untuk berperang di Iraq pada 2003, Perdana Menteri Britain, Tony Blair menafikan “dakwaan palsu” bahawa “kita mahu merampas sumber pendapatan minyak Iraq.”

Beliau berkata, pendapatan itu mestilah dimasukkan ke dalam dana amanah yang dikendalikan oleh Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu untuk rakyat Iraq, tetapi cadangan itu tidak dilaksanakan.

Pada tahun yang sama, Colin Powell yang ketika itu menjadi Setiausaha Negara AS, berkata: “Untuk melancarkan peperangan ini, kita memerlukan wang yang banyak.

“Tetapi minyak Iraq adalah milik rakyat Iraq, itulah kekayaan mereka dan patut digunakan untuk kebajikan dan kepentingan mereka. Jadi, kita bukannya berperang kerana minyak.”

– Agensi

 sumber dr: http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm